Thursday, September 17, 2009

DEBAT..

kt maktab mhmud yan..lelaki/prmpuan xdbnarkn brcakap ssama..kelas asing kcuali form 4 n 5.. so, sir azman adakan prdebatan tjuk: "interaksi d antara pljr putera puteri harus dbnarkn di maktab mhmud yan atas urusan prsekolahan" aku jdi pncadang plk... so, ini artikel nyer: nnti aku buat artikel utk pembangkang plk..sbb aku lbih suka jdi pmbangkang..

INTERAKSI PUTERA PUTERI DI MMY HARUS DBENARKAN ATAS URUSAN PRSEKOLAHAN

Terima kasih dan salam sejahtera Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang menegakkan keadilan,dif-dif jemputan, para pembangkang yang dihormati serta sidang dewan sekalian.
Jika medan ini sebagai gelanggang perang dengan palu canang dan tempik sorak soldadunya, justeru sayalah panglima barisannya. Namun, medan ini adalah pentas petah berbicara, justeru saya tampil sebagai pendeta pembawa obor kebenaran dengan tajuk bicara, “ Interaksi di antara pelajar putera dan puteri harus dibenarkan di Maktab Mahmud Yan di atas urusan persekolahan”. Benarkah saudara saudari kenyataan ini? Tidak janggalkah untuk saya lafazkan kenyataan tersebut dalam medan bicara yang mulia ini? Walau apa jua andaian, analogi, dan hipotesis yang timbul, saya tetap mempertahankan isu yang benar ini. Bukan serikandi namanya jika saya berhujah di landasan yang hambar.

Kalam bicara kalam pujangga,
Hujah pendeta bijak pintar,
Medan berhujah membawa citra,
Deligasi pencadang tidak pernah gentar.

(Maksud tajuk kalau boleh)(sblm mlangkah lbh jauh, izinkn saya mmbrikn takrif usul kita pd hri ini)

Sidang dewan yang dihormati,
Dengan lafaz bismillah, saya mulakan pentas perdebatan kita pada hari ini dengan hujah saya yang pertama iaitu interaksi di antara pelajar berlawanan jantina harus dibenarkan untuk membiasakan diri berhadapan dengan lelaki atau perempuan kelak jika memerlukan bantuan. Saya maklum semua orang tahu kekuatan fizikal lelaki lebih kuat daripada fizikal perempuan. Namun, tidak pula saya katakan di sini bahawa perempuan itu lemah tambahan pula saya juga terdiri dari kaum Hawa, bukankah begitu? Contohnya, apabila kita mengadakan suatu majlis yang memerlukan tenaga kuat untuk mengangkat dan mengatur khemah-khemah, meja dan kerusi, pastilah tenaga lelaki diperlukan.

Mengorak langkah pada hujah yang kedua, saya ingin menceritakan dahulu sebuah kisah terdahulu bahawa Anas r.a. menceritakan, apabila Rasulullah s.a.w wafat, Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. pergi ke rumah Ummu Aiman untuk menziarahi beliau sebagaimana Rasulullah selalu menziarahinya sebelum kewafatan baginda. Sampai di rumahnya, mereka dapati beliau menangis. “ Apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi baginda, akan tetapi aku menangis kerana wahyu telah terputus dari langit (dengan kewafatan baginda).”. Jawapan Ummu Aiman menyebabkan Abu Bakar dan Umar terharu dan turut menangis bersamanya.(HR Imam Muslim). Menurut Syarah Soheh Muslim, juz 16, kitab Fadhail as-Sohabah, tatkala Imam Nawawi mengulas hadis ini (terdapat dalil menunjukkan) keharusan kumpulan orang lelaki menziarahi perempuan yang solehah dan mendengar ucapannya.
Ternyata interaksi ini patut diharuskan atas urusan dakwah juga. Lagipun, dalam hal kepimpinan tidak semestinya hanya orang lelaki sahaja yang diperlukan. Perempuan juga diperlukan kalau tidak masakan orang lelaki boleh tahu masalah-masalah yang wanita alami. Seperti Negara Iran baru-baru ini, menteri kesihatan adalah Marzieh Vahid yakni seorang permpuan. Di Malaysia juga terdapat banyak pemimpin-pemimpin wanita seperti Nurul Izzah dan ibunya, Rafidah Aziz dan Azalina Othman sebagai pemimpin wakil rakyat. Malah Aisyah r.a. juga menjadi perawi hadis. Anda semua tahu bukan apabila perbezaan jantina, berlainan pula pandangan dari segi ilmu. Lagipun, seperti kata Hasan Al-Basri, lelaki mempunyai 9 akal manakala perempuan hanya mempunyai 1 akal. Takkan hendak biarkan kaum Hawa menjadi seperti katak di bawah tempurung? Maka apabila ilmu ini tidak dikongsi maka ilmu itu akan terbatas sahaja, tidak dapat diperkembangkan dan diperluaskan.Bukankah itu semua dapat merugikan umat islam sendiri?

Sidang hadirin sekalian, izinkan saya mengemukakan satu istilah iaitu ‘ikhtilat’ di mana dari segi istilah ia bererti pergaulan wanita bersama lelaki pada suatu tempat yang pada kebiasaannya membawa kepada berjumpa, melihat, dan berinteraksi sesama mereka.

Contohnya seperti sewaktu tetamu berkunjung ke rumah kita. Takkanlah kita hanya biarkan mereka di luar semata-mata kerana sikap malu dan tidak terbiasa. Ataupun, kita menjemput mereka, lalu menghidang dengan sedikit juadah lalu terus berlalu begitu sahaja lantaran berasa kekok? Bila bulan berpuasa seperti bulan ini pula, takkanlah kita nak hidangkan buku-buku atau membiarkan mereka hanya menonton televisyen pula?Adakah itu caranya melayan tetamu? Bukankah dalam Islam kita mesti memuliakan tetamu. Adakah dengan cara sebegitu kelihatan seperti memuliakan tetamu? Seterusnya, membiasakn seseorang untuk membiasakan diri berinteraksi apabila ingin mengemukakan apa-apa persoalan atau permasalahan.

Keadaan yang lain pula, apabila interaksi di antara pelajar putera puteri di Maktab Mahmud Yan tidak pernah berlaku maka wujudlah perasaan malu yang menebal hampir pada keseluruhan pelajar. Bagaimana jika suatu ketika kelak terjadi sesuatu peristiwa yang tidak dijangkakan seperti kemalangan atau perang. Saya ingin memperkatakan keadaan di dalam perang. Jika kaum lelaki begitu semangat berjuang di dalam medan perang sehingga ada yang tercedera, kaum perempuan pula ditugaskan sebagai perawat. Sifat seorang perempuan selalunya akan menyuruh rakannya melakukan apa-apa tugasan apabila berasa malu. Jadi, apabila seseorang menyuruh rakan lain dan rakan itu pula menyuruh seorang yang lain pula, ini akan merugikan masa sedangkan kemungkinan kecederaan mangsa dalam keadaan kritikal. Apabila terjadi hal sebegini, mangsa menghadapi risiko besar untuk segera menghembuskan nafas terakhir.
Ataupun, perempuan ditugaskan sebagai peniup semangat jihad para muslimin. Jika suara perempuan hanya tersekat di kerongkong, dan semangat para muslimin merudum, siapa yang akan rugi?

Keadaan terakhir yang ingin saya bentangkan di dewan ini dalam pengharusan ‘ikhtilat’ adalah sewaktu seseorang menjadi saksi di dalam sesuatu kes makhamah. Jika dia hanya mendiamkan diri kerana berasa janggal maka sudah tentu akan memberi impak yang besar. Lebih rugi lagi, jika hukuman yang akan dikenakan kelak bertentangan dengan perkara sebenar yang telah terjadi.

Hujah saya yang seterusnya, apabila universiti atau kolej yang dimasuki oleh seseorang pelajar mengadakan tugasan berkumpulan yang mencampur adukkan ahlinya lelaki dan perempuan. Apabila kita tidak biasa dengan keadaan percampuran seperti ini, pasti kita akan berasa agak kekok. Jadi bagaimana kita hendak mengutarakan pendapat dalam tugasan tersebut. Kalau tidak, pasti kita akan mendapat markah yang rendah. Lebih malang lagi, jika idea kita itu bernas-bernas belaka. Banyak kerugian bakal berlaku jika idea kita hanya tersimpan kemas di dalam pemikiran.

Interaksi ini juga sepatutnya diharuskan untuk mengeratkan ukhwah. Seperti yang saya nyatakan di atas tadi di dalam peperangan. Jika umat islam makin berkurangan, takkanlah kita masih mengasingkan lagi pasukan lelaki dan permpuan serta tidak mempedulikan hal-hal pasukan berlawanan jantina. Kemungkinan jika perhubungan ukhwah tidak dititik beratkan mungkin pasukan perempuan yang telah syahid tidak diketahui oleh pasukan lelaki langsung dan begitu juga sebaliknya.

Namun, ingin saya tegaskan walaupun saya menyokong bahawa interaksi di antara pelajar putera puteri diharuskan atas urusan persekolahan tidak pula bermakna saya menyokong untuk bergaul bebas pula. Apabila berurusan, hendaklah menjaga batasan-batasan tertentu seperti menjaga pandangan, bercakap dengan nada tegas terutamanya seorang wanita namun janganlah sehingga mengeluarkan nada seperti seorang komandan hendak memberikan arahan pada askar-askarnya. Ingin saya petikkan satu firman Allah s.w.t yang bermaksud: “ Dan janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik”. (Surah Al-Ahzab, ayat 32). Jelaslah, suara yang bernada mendayu-mendayu atau lunak diharamkan .
Selain itu, apabila hendak berurusan, bawalah rakan sebagai peneman. Saya juga ingin mencadangkan agar meminta kebenaran guru terlebih dahulu sebelum itu. Jika bimbangkan pelajar-pelajar akan mengambil kesempatan, guru hendaklah mengutuskan pelajar yang dipercayainya untuk menemani orang yang hendak berurusan tersebut. Jika masih khuatir, guru tersebut boleh juga menjadi peneman secara langsung. Jikalau guru tersebut sibuk pula, hukumlah pelajar yang mengambil kesempatan.


Berhujah sudah, berdebat pun sudah,
Hujah pencadang bernas sentiasa,
Andai pembangkang terasa gundah,
Pindahlah kerusi ke sebelah saya.

Sampai di sini sahajalah hujah-hujah saya untuk kali ini memandangkan masa amat mencemburui saya. Sebentar nanti, rakan-rakan saya akan bangun dengan lebih penuh bersemangat untuk menyambung hujah yang cukup meyakinkan. Saya memohon mengundur diri. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment